Thursday 30 January 2014

FALSAFAH DEONTOLOGI



Pendahuluan Deontologi

Terdapat empat cabang falsafah utama iaitu metafizik, logik, epistemologi dan aksiologi. Di bawah cabang falsafah Aksiologi ia berkisar tentang nilai dan terbahagi lagi kepada dua, iaitu estetika dan etika. Etika membincangkan mengenai tindak-tanduk manusia dan susunan yang sepatutnya dan ia juga dikenali sebagai moral. Dalam etika, ada dua mazhab besar iaitu konsekuentialisme dan deontologi. Konsekuentialisme dipegang biasanya oleh golongan utilitarian, manakala deontologi dipegang oleh golongan Kantian.

Definisi

Definisi Deontologi adalah dari istilah bahasa Greek yang merujuk kepada tanggungjawab atau kewajipan seorang individu. Deon bermaksud apa yang harus dilakukan (kewajipan) atau "yang diharuskan atau diwajibkan" (duty). Deontologi ialah suatu sistem moral / etika yang mengukur baik tidaknya suatu perbuatan semata-mata berdasarkan maksud si pelaku dalam melakukan perbuatan tersebut.

Mengikut teori etika ini, ia menyatakan nilai moral suatu tindakan tidak boleh dinilai ke atas kesudahannya (hasil / kebaikan yang akan didapati) kerana kesudahannya tidak jelas dan tidak dapat ditentukan hasilnya semasa tindakan / keputusan tersebut dibuat. Nilai prinsip bermoral sesuatu tindakan sebaliknya harus bergantung pada niat seseorang itu yang membuat keputusan atau melakukan tindakan. Teori ini menegaskan bahawa betul atau salahnya sesuatu tindakan itu tidak berdasarkan atau ditentukan oleh akibat-akibat tindakan tersebut. Pendekatan deontologi sudah diterima dalam konteks agama sekarang dan merupakan juga salah satu teori etika yang terpenting. Contohnya seperti kewajipan seseorang yang memiliki dan mempercayai agamanya, maka orang tersebut harus beribadah, menjalankan perintah dan menjauhi laranganNya. Falsafah ini juga mempunyai pandangan bahawa terdapat perkara-perkara yang kita tidak boleh lakukan walaupun untuk menghasilkan sesuatu yang baik.

W.D Ross iaitu seorang ahli falsafah British telah menyenaraikan tujuh peraturan berkenaan kewajipan manusia iaitu :
  • Kesetiaan – berpegang kepada janji dan bercakap benar
  • Penggantian (ganti rugi) – memberi pampasan kepada individu yang tercedera akibat tindakan salah kita
  • Rasa syukur – membalas pertolongan yang telah diberikan kepada kita
  • Keadilan – memastikan barangan yang dibahagikan kepada orang lain mengikut jumlah yang patut diterima olehnya.
  • Beneficence – melakukan apa saja yang mampu untuk membaiki keadaan insan lain.
  • Pembaikan diri – memperbaiki keadaan diri sendiri berkaitan dengan nilai dan kebijaksanaan.
  • Nonmaleficence – mengelakkan kecederaan insan lain.

Konsep-Konsep Deontologi
  1. Sistem etika ini hanya menekankan suatu perbuatan di dasarkan pada wajib tidaknya kita melakukan perbuatan itu.
  2. Disebut baik dalam erti sesungguhnya hanyalah kehendak yang baik, semua hal lain di sebut baik secara terbatas atau dengan syarat. Contohnya : kesihatan, kekayaan, kecerdikan, adalah baik jika digunakan dengan baik oleh kehendak manusia. Tetapi jika digunakan oleh kehendak jahat, semua hal itu menjadi sangat jahat.
  3. Kehendak menjadi baik, jika bertindak kerana kewajipan. Kalau perbuatan dilakukan dengan suatu maksud atau motif lain, perbuatan itu tidak disebut baik, walaupun perbuatan itu suatu kecenderungan atau watak baik.
  4. Perbuatan dilakukan berdasarkan kewajipan, bertindak sesuai dengan kewajipan disebut ‘legal’. Dengan ini kita memenuhi norma hukum.
  5. Deontologi membahagi kewajipan moral kepada 2 iaitu :
  • Kewajipan moral yang mewajibkan begitu saja tanpa syarat. Contoh janji harus ditepati senang atau tidak, barang yang dipinjam harus dikembalikan walaupun pemiliknya sudah lupa.
  • Kewajipan moral yang diikuti dengan syarat.Contoh : N Kalau kita ingin mencapai suatu tujuan, maka kita harus menghendaki sarana-sarana yang menuju ke tujuan itu. N Contoh : jika kita ingin lulus ujian, kita harus belajar dengan tekun tetapi sarana (belajar) itu hanya mewajibkan kita, sejauh kita ingin mencapai tujuan (lulus)

Deontologi menekankan perbuatan tidak menghalalkan cara kerana tujuannya. Tujuan yang baik tidak semestinya menjadi perbuatan itu juga baik. Di sini kita tidak boleh melakukan suatu perbuatan jahat agar sesuatu yang dihasilkan itu baik. Misalkan kita tidak boleh mencuri, berbohong untuk membantu orang lain. Penindasan terhadap seseorang tidak boleh dilakukan kerana ianya bertentangan dengan hak-hak yang dimiliki oleh setiap individu walaupun tindakan tersebut akan membawa kebaikan kepada masyarakat.

Sebenarnya sebagai umat yang beragama, kita berpegang teguh pada Deontologi. Ada kalanya suatu perbuatan dikatakan baik tetapi perbuatan lain dikatakan buruk. Orang yang berpegang teguh pada agama pasti mengatakan bahwa apabila ada suatu perbuatan dikatakan buruk pasti dia akan menjawab bahawa itu dilarang agama. Dalam agama mana sekalipun pasti mempunyai pandangan bahawa terdapat perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan walaupun untuk menghasilkan sesuatu yang baik. Seperti agama Yahudi – Kristiani terkenal dengan sebutan The Ten Commandments seperti berdusta, mencuri, berzina, membunuh, dan beberapa lagi perbuatan buruk. Apabila ada pertanyaan mengapa hal – hal tersebut tidak boleh dilakukan pasti kita akan menjawab hal – hal tersebut merupakan larangan dari Tuhan, dan pastinya sepuluh larangan tadi juga tidak dibenarkan dalam ajaran agama lain. Begitu juga dengan agama Islam melarang semua perkara buruk kerana akan menganiaya orang lain. Oleh itu dapatlah disimpulkan disini bahawa pendekatan deontologi sememangnya diterima dalam konteks agama.

Etika Deontologi

Menurut etika deontologi, suatu tindakan dinilai baik atau buruk berdasarkan apakah tindakan itu sesuai atau tidak dengan kewajipan. Kerana bagi etika deontologi yang menjadi dasar baik buruknya perbuatan adalah kewajipan. Pendekatan deontologi sudah diterima dalam konteks agama dan menjadi satu teori etika yang terpenting.

Ada tiga prinsip yang harus dipenuhi :
  1. Supaya tindakan mempunyai nilai moral, maka tindakan ini harus dijalankan berdasarkan kewajipan.
  2. Nilai moral dari tindakan ini tidak tergantung pada tercapainya tujuan dari tindakan itu melainkan tergantung pada kemahuan baik yang mendorong seseorang untuk melakukan tindakan itu.Ini bererti walaupun tujuan tidak tercapai, tindakan itu sudah dinilai baik.
  3. Sebagai kesimpulan dari kedua prinsip ini, kewajipan adalah hal dari tindakan yang dilakukan berdasarkan sikap hormat pada hukum moral universal.
Dengan kata lain, suatu tindakan dianggap baik kerana tindakan itu memang baik pada dirinya sendiri, sehingga menjadi satu kewajipan yang harus kita lakukan. Sebaliknya, suatu tindakan dinilai buruk secara moral sehingga tidak menjadi kewajipan untuk kita lakukan. Bersikap adil adalah tindakan yang baik, dan sudah menjadi kewajipan kita untuk bertindak demikian. Sebaliknya, pelanggaran terhadap hak orang lain atau mencurangi orang lain adalah tindakan yang buruk pada dirinya sendiri dan wajib dihindari.

Etika deontologi sangat menekankan motivasi, iaitu kemahuan yang baik dan watak yang kuat untuk bertindak sesuai dengan kewajipan. Kemahuan yang baik harus dinilai baik pada dirinya sendiri dan dalam apa jua keadaan sekalipun. Maka, dalam menilai tindakan kita, kemahuan baik harus dinilai paling pertama dan menjadi syarat penting dari segalanya.

Walaupun falsafah ini telah diakui oleh agama namun terdapat dua kesulitan yang dapat dilihat terhadap teori deontologi. Pertama, dalam kehidupan sehari-hari ketika menghadapi situasi dalam dilema, etika deontologi tidak memadai untuk menjawab pertanyaan bagaimana saya harus bertindak dalam situasi tegang semasa menghadapi masalah. Pada masa itu terdapat dua atau lebih kewajipan yang saling bertentangan,dan ketika itu kita harus memilih salah satu sambil melanggar yang lain, etika deontologi tidak banyak membantu kerana hanya mengatakan, bertindaklah sesuai dengan kewajipanmu.

Persoalan kedua, sebagaimana dikatakan oleh John Stuart Mill, para penganut etika deontologi sesungguhnya tidak boleh mengelakkan dari pentingnya akibat sesuatu tindakan untuk menentukan apakah tindakan itu baik atau buruk. Para penganut etika deontologi secara diam-diam menutup mata terhadap pentingnya akibat suatu tindakan supaya tidak memperlihatkan pentingnya nilai suatu tindakan terhadap moral seseorang itu sendiri.

Namun begitu dua persoalan tersebut boleh dijawab oleh W.D Ross. Beliau mengajukan prinsip prima facie. Menurut Ross, dalam kenyataan hidup ini, kita menghadapi berbagai macam kewajipan moral bahkan bersamaan dalam situasi yang sama. Dalam situasi seperti ini kita perlu menentukan kewajipan mana yang terbesar dengan membuat perbandingan antara kewajipan-kewajipan itu. Untuk itu, Ross memperkenalkan perbezaan antara kewajiban prima facie dan kewajipan-kewajipan sebenar (actual). Kewajipan prima facie adalah kewajipan yang selalu harus dilaksanakan kecuali kalau bertentangan dengan kewajipan lain yang sama atau lebih besar.

Pandangan Adam Smith, mengenai persoalan kedua adalah suatu tindakan dapat dinilai baik atau buruk berdasarkan motif pelakunya serta berdasarkan akibat atau tujuan dari tindakan itu. Hanya saja dipihak lain, bagi Adam Smith, motif dan kemahuan saja tidak dengan sendirinya menentukan nilai suatu tindakan. Juga motif tidak dengan sendirinya membebaskan seseorang dari kesalahan moral kerana tindakannya. Misalnya, seseorang tanpa sengaja membuang kulit pisang dipinggir jalan, kemudian kulit pisang itu menyebabkan seseorang yang lain terjatuh hingga terluka bahkan menemui kematian. Di sini jelas menunjukkan melakukan suatu tindakan yang salah secara moral, bukan kerana motifnya untuk melukai atau membunuh, melainkan tindakannya itu boleh mengakibatkan kerugian pada orang lain.

No comments:

Post a Comment